Saturday, November 6, 2010

7 PERKARA YANG MEMBUAT ANDA BERMOTIVASI DI WAKTU PAGI

Malas, lemah, penat, longlai adalah resam jika anda bukanlah berniat dengan penuh kesungguhan dan bersemangat untuk menikmati kebahagiaan di pagi hari.

Waktu pagi adalah ujian untuk anda, pagi adalah nikmat untuk anda, pagi adalah penentu arah kejayaan dan kegagalan dalam hidup anda.

Justeru itu adakah kita mahu mensia-siakannya?

Ayuh sahabat, bangkitlah! Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah:

01.Bersyukur, bersyukur, bersyukur
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

02.Tekad Bermotivasi
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.

Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

03.Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.

Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

04.Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.

Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.

Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

05.Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?

Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.

Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.

Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.

Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

06.Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.

Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!

Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.

07.Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.

Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.

Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.

Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.

MARI MENJADI MANUSIA

alt

Saya tak pernah bosan menjadi pendengar yang setia. Mendengar masalah orang, membuatkan saya bertambah bersyukur kerana Tuhan tidak menguji saya dengan ujian sebegitu. Antara yang banyak diluahkan ialah tentang soal ketenangan serta matlamat hidup. Apa yang perlu kita beruasaha untuk mencapai ialah matlamat dan tujuan hidup.

Mari menjadi manusia

Bercakap memang mudah. Benar, kita manusia tapi belum tentu kita ada sifat kemanusiaan.

Manusia dan kemanusiaan, hakikatnya dua benda berbeza.

Manusia diciptakan Allah, bukan untuk bermain-main atau tiada tujuan.

Ramai manusia kabur dan tidak nampak apa tujuan dia hidup.

Maka, dia mudah berputus asa. Hidupnya sukar, penuh dengan duka, tidak kenal erti ketenangan dan tidak bahagia.

Jiwanya kosong, tercari-cari matlamat hidup.

Faktor utama ialah kerana tidak tahu.

Moga-moga artikel pendek ini berjaya merubah keadaan kita yang "'tidak tahu" menjadi "tahu".

Firman Allah dalam surah Al-Mukminun ayat 115.

"Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu bermain-main (tanpa ada maksud) dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Suatu ayat sindir, Allah tujukan kepada kita untuk kita sama-sama muhasabah diri.

Secara asasnya, manusia diciptakan Allah dengan 3 komponen, iaitu Hati, Akal dan Jasad.

Ketiga-tiga komponen ini ada tugas dan peranan. Peranan hati ialah untuk membuat pilihan. Firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 29.

" ... maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.."

Dalam hidup,manusia diberi pelbagai pilihan.

Pilihan samada untuk mengalihkan pandangan atau tidak apabila ternampak aurat manusia, membuat pilihan sama ada mahu bercakap atau diam apabila mendengar azan, membuat pilihan samada mahu menegur atau lari apabila mendengar orang mengumpat, dan lain-lain.

Siapa kata dia tiada pilihan, maka dia pembohong. Pilihan sentiasa ada, cuma kekuatan saja yang kadang ada kadang tiada. Kerana itulah wujud "'dosa terpaksa".

Peranan Akal pula ialah untuk berfikir. Berfikir akan baik buruk sesuatu benda. Memikirkan kesan dan akibat dan memikirkan bagaimana mahu mendapat redha Allah. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 36

"Dan janganlah engkau mengikut sesuatu yang kamu tidak tahu. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya".

Sangat jelas, peranan akal untuk berfikir dan menilai sesuatu, sebelum bertindak. Contohnya, jika aku tinggal solat, apa kesannya kepada aku? Jika aku bercouple, apa kesannya kepada aku?

Jika aku tengok filem tu, apa kesannya kepada aku? Semua persoalan ini harus dinilai oleh akal.

Akhir sekali, peranan jasad iaitu untuk beramal. Tipulah jika kita mengaku kita beriman, tapi tidak beramal.

Tipulah jika kita mengaku beriman tapi tidak dibuktikan dengan perbuatan.

Rasanya tidak perlu huraian yang panjang bagi amal. Cukuplah kita faham bahawa kita tidak dikira beriman selagi kita belum melaksanakan tuntutan iman.

Dengan wujudnya 3 komponen penting ini dalam diri manusia, layaklah manusia menjadi sebaik-baik makhluk, berbeza dengan haiwan. Namun, dengan anugerah hati, akal dan jasad ini, Allah telah memberi kita amanah sejak kita di alam roh hingga hujung nyawa.

Amanah yang memerlukan kepada pengorbanan dan perjuangan.

Apakah amanah-amanah itu?

Ia adalah tuntutan ibadah dan menjadi khalifah.

Firman Allah dalam surah Adz-Zariyat ayat 56 :

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku".

Tiada persoalan, tiada bantahan. Jelas.

Selain beribadah, kita juga adalah khalifah di muka bumi ini. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam ayat ke 30 dalam surah al-Baqarah;

"Aku hendak menjadikan khalifah dimuka bumi ini".

Sesuatu yang kita harus hayati ialah bagaimana untuk kita melaksanakan dua perkara dalam satu masa, iaitu beribadah dan menjadi khalifah.

Secara teori, ia mudah kerana menjadi khalifah itu sendiri ialah ibadah kerana segala perbuatan kita adalah ibadah kepada Allah s.w.t. Kita diperintah oleh Allah untuk memakmurkan bumi.

Maka, jika orang tanya saya apa matlamat hidup saya, saya akan menjawab saya mahu menjadi manusia yang bermanfaat.

Matlamat hidup,tujuan hidup dan apa yang saya kejar di dunia ini hanyalah apa yang Allah suruh- iaitu menjadi manusia yang bermanfaat dan sentiasa beribadah kepada-Nya.

Akhir sekali, selepas kita diberikan amanah, Allah menyediakan balasan kepada kepada kita. Jelas, orang-orang yang berusaha menunaikan amanah, Allah sediakan syurga dan bagi manusia yang tidak tahu, tidak mahu dan tidak peduli dengan amanah ini, Allah sediakan neraka. (Nauzubillah).

Kesimpulan

Saya juga masih mencuba-cuba untuk menjadi manusia. Manusia yang ada "fungsi", ada matlamat dan ada tujuan.

Ia memang tidak mudah, tapi cukuplah jika Allah tahu saya berusaha dan akan terus berusaha sehingga saya mati.

Semoga usaha saya ini diterima Allah s.w.t.

- Artikel iluvislam.com

RUMAHTANGGA DAKWAH DAN GENERASI PEWARIS

Adalah satu hakikat yang telah kita sama sama fahami bahawa kita hidup di dalam suasana yang berlakunya pertembungan antara Islam dan jahiliyah.

Pertembungan ini berlaku di setiap peringkat sama ada dari peringkat individu hinggalah keperingkat masyarakat dan negara.

Setiap muslim yang merasai hakikat ini hendaklah menyedari bahawa dirinya perlu membuat persiapan yang rapi.

Kegagalan di dalam pertarungan ini akan menjejaskan akhiratnya, dan juga keluarganya.

Oleh yang demikian kita di tuntut untuk memahami amal Islami dan melaksanakannya dan juga menyediakan anggota anggota keluarga untuk sama- sama mendukung tanggungjawab dakwah dan jihad ini.

Salah satu aspek dalam persiapan jihad ini ialah menyediakan rumahtangga dakwah.

Asy Syahid Imam Hassan Al Banna telah meletakkan pembentukan rumahtangga muslim sebagai fasa kedua dalam amal Islami.

Artikel ini cuba membincangkan persoalan rumahtangga dakwah dan kedudukannya dalam pembentukan generasi anak-anak kita yang mampu mewarisi dakwah Islam.

Apa Kata Islam Mengenai Pembinaan Rumahtangga

Sebelum kita meneruskan perbincangan mengenai tajuk ini marilah kita memahami pengertian rumahtangga atau keluarga muslim.

Apa yang dimaksudkan dengan keluarga muslim adalah keluarga yang mendasarkan segala aktivitinya pada pembentukkan keluarga yang sesuai dengan syariat Islam.

Berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, terdapat beberapa tujuan terpenting pembentukkan rumahtangga muslim ini iaitu :

01.Mendirikan syariat Allah dalam segala permasalahan rumahtangga, mengamal apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

02.Mewujudkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan ruh. Allah berfirman dalam Surah Ar-Rum ayat 21;

"Dan di antara tanda tanda kekuasannya ialah dia menciptakan untukmu isteri isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya.dan dijadikan Nya di antaramu rasa mawaddah dan rahmah.Sesungguhnya pada yang demikian benar benar terdapat tanda tanda bagi kaum yang berfikir." - Surah ar-Rum :21

Al-Qurtubi telah mencatatkan komentar Ibn Abbas RA mengenai mawaddah,yang dijelaskan bererti "cinta kasih seorang lelaki kepada isterinya" dan rahmah pula bermaksud "rahmahnya jangan sampai menderita atau mengalami kesusahan". Dan di sini dapatlah kita simpulkan bahawa pembentukkan rumahtangga muslim itu di asakan di atas mawaddah dan rahmah.

Suasana rumahtangga yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang yang suci akan mententeramkan jiwa dan ruh dalam kehidupan pendakwah. Dalam hal ini tiada contoh yang paling tepat selain rumahtangga Rasullullah SAW yang dibina bersama-sama dengan Sayidatina Khadijah RA terutama sekali pada ketika menghadai cabaran-cabaran dan pengalaman-pengalaman baru yang memerlukan sokongan padu serta keyakinan yang tidak ada sebarang keraguan daripada si isteri.

Anak-anak yang dibentuk di dalam suasana mawaddah dan rahmah ini akan menghasilkan peribadi yang bahagia, yakin diri, tenteram kasih sayang serta jauh dari kekacauan serta penyakit batin yang melemahkan peribadi.

03.Mewujudkan Sunnah Rasullullah SAW dengan melahirkan anak-anak soleh sehinggakan umat manusia merasa bangga akan kehadiran kita.

04.Memenuhi keperluan cinta kasih anak-anak ketidak seimbangan atau ketandusan cinta kasih ini menyebabkan penyimpang akhlaq dan perilaku.

Di dalam persoalan perkahwinan dan seterusnya pembentukkan rumahtangga muslim ini Islam tidak menyempitkan perkahwinan itu hanya untk mendapatkan anak-anak yang soleh.

Walaupun ini adalah satu tujuan utama, atau untuk mengekang pandangan dan menjaga kemaluan, juga matlamat perkahwinan dan bukan juga bertujuan untuk menyalurkan nafsu secara syarie, tetapi Islam telah menentukan matlamat yang lebih tinggi, lebih mulia dan lebih jauh jangkauannya.

Ianya berkait rapat dengan matlamat kemasyarakatan, jihad serta perlaksanaan amal Islam yang luas.

Walaupun antara matlamat terpenting dalam pembentukan rumahtangga dakwah ini adalah untuk menyediakan suasana dan persekitaran subur untuk mendidik anak- anak tetapi Islam telah menentukan bahawa perjanjian zuriat itu yang utamanya adalah bermatlamatkan dakwah dan jihad.

"Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku (pewaris) sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah dari sisi Engkau seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia Ya Tuhanku, seorang yang diredhai " - Surah Maryam : 5 – 6

Kedua-dua ayat di atas meraqamkan hajat dari do'a Nabi Zakaria AS yang berhajat kepada anak untuk mewarisi dan meneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya.

Peristiwa yang dirakamkan di dalam Al-Quran ini menunjukkan bahawa seorang daie itu berhajatkan anak seperti manusia lain juga tetapi hajat ini lebih mulia kerana ia berhajat supaya anaknya mewarisi dakwah dan jihadnya.

Aspek ini adalah penting kerana perjalanan dakwah dan pertarungan dengan memerlukan masa yang panjang dan dengan adanya pewaris yang akan meneruskan perjuangan dapatlah di pastikan, Insya Allah bahawa perjuangan ini tidak akan mati di pertengahan jalan.

Tawazun Dalam Rumahtangga

Berumahtangga juga bagi seorang daie adalah bertujuan untuk melaksanakan ubudiyah dan bukan untuk menghalangnya. Adalah disedari bahawa terdapat banyak ujian dan fitnah yang terdapat dalam rumahtanggga.

Salah satu daripada ciri penting rumahtangga dakwah adalah keseimbangan atau tawazun. Keseimbangan ini adalah:

  1. Di antara kecintaan kepada isteri dan anak-anak dengan kecintaan kepada Allah dakwah dan jihad.
  2. Diantara kecintaan kepada keselesaan hidup bersama keluarga dengan kesungguhan berdakwah di tengah tengah masyarakat yang sangat mencabar.
  3. Diantara kecenderungan untuk memberikan kesenangan hidup keluarga dengan harta benda dengan tuntutan berbelanja ke jalan Allah SWT.

Para du'at (daie-daie) perlu melalui dengan bersungguh-sungguh untuk menatijahkan keseimbangan ini kerana ramai para du'at yang gugur di perjalanan dakwah kerana kegagalan mereka melahirkan keseimbangan ini dan kegagalan mereka mendidik isteri dan anak-anak untuk menerima serta melaksanakan keseimbangan ini.

Rumahtangga Dakwah Adalah Yang Terlaksananya Tarbiyah Kepada Anggotanya

Salah satu ciri terpenting dalam rumahtangga daie yang membezakannya terus dari yang selainnya adalah terlaksananya tarbiyah Islam yang sebenarnya di dalam rumahtangga tersebut.

Adalah menjadi suatu yang dituntut agar para duat memberikan sepenuh perhatian yang serius dalan hal ini.

Anggota keluarga yang tidak mendapat tarbiyah yang sebaiknya atau lebih parah lagi yang terabai terus tarbiyah mereka bukan sahaja tidak akan mempu untuk menyambung perjuangan Islam tetapi mungkin akan mencacatkan dan menjadi penghalang perjalanannya.

Pentarbiyahan anggota keluarga di mulakan dengan pentarbiyahan isteri, yang telah terlebih dahulu di pilih di atas dasar keimanan dan keIslamannya.

Pentarbiyahan isteri ini sangat penting kerana pentarbiyahan anak seterusnya akan dilaksanakan bersama dan pada dasarnya para isterilah yang akan memainkan peranan yang paling besar.

Selain daripada memikirkan kurikulum yang berkesan untuk mentarbiyah anak yang merangkumi bahan bahan dan metodologi yang sesuai, satu aspek lagi yang sangat penting adalah syakhsiyah Islamiyah dan perlakuan ibubapa.

Pakar pakar pendidikan barat juga menyedari hakikat qudwah dan menyebutkannya sebagai 'the hidden curriculum' atau kurikulum yang tersembunyi.

Pembinaan Syakhsiah yang dibina di atas dasar keimanan yang teguh sahaja dapat membuahkan syakhsiyah contoh yang menjadi kurikulum praktikal bagi pertumbuhan jiwa dan perlakuan anak.